Bahaya bayi tidak diberi susu ibu


Assalamualaikum dan salam sejahtera,






Berikut adalah senarai risiko penyakit/masalah yang mungkin dihadapi oleh bayi yang tidak diberi susu ibu hasil kajian pakar:


1. Perkembangan kognitif dan kecerdasan.
Perkembangan otak bayi belum sempurna sebaik dilahirkan, malah pembentukan dan perhubungan sel-sel saraf berkembang pesat dalam 3 tahun pertama hayatnya. Apabila proses ini selesai, sel otak boleh mati namun tidak akan berganti. Susu ibu yang memang khusus untuk bayi manusia mengandungi semua nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak bayi untuk mencapai potensi maksimum. Sebaliknya susu formula tidak mengandungi semua nutrien tersebut (malah kita tidak mengetahui dengan tepat apakah kandungan sebenarnya!)

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberi susu ibu ketika bayi menunjukkan skor yang tinggi dalam ujian kepintaran.

Para pengkaji juga mendapati kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka waktu lama menunjukkan skor kepintaran yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang minum susu ibu dalam jangka masa singkat.



2. Diabetes.
Diabetes jenis I (yang diwarisi secara genetik) biasa dikesan di kalangan kanak-kanak . Kajian ke atas kanak-kanak yang tidak diberi susu formula (sekurang-kurangnya sehingga umurnya 1 tahun) mendapati bahawa kanak-kanak tersebut mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk menghidap diabetes.



3. SIDS (Sudden Infant Death Syndrome).
SIDS ialah situasi kematian mengejut bayi, biasanya ketika tidur. Tidak diketahui penyebab terjadinya kematian begini. Namun begitu kajian menunjukkan bayi yang diberi susu formula lebih tinggi risiko terjadinya SIDS.



4. Masalah pernafasan.
Peningkatan penyakit asma di kalangan kanak-kanak amat ketara pada masa sekarang. Tidak dinafikan faktor persekitaran menyumbang kepada peningkatan tersebut termasuk pendedahan kepada pencemaran udara dan pertambahan bilangan kanak-kanak di nurseri, tadika serta pusat jagaan mendorong pendedahan kepada virus pada usia muda.

Kajian menunjukkan pemberian susu formula kepada bayi meningkatkan risiko kepada asma dan juga masalah pernafasan lain seperti respiratory syncytial virus (RSV). Kanak-kanak ini juga lambat sembuh berbanding kanak-kanak yang diberi susu ibu.



5. Jangkitan telinga.
Jangkitan telinga agak biasa terjadi di kalangan kanak-kanak. Kajian mendapati risiko terjadinya otitis media (jangkitan telinga) lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula.

Jangkitan telinga sangat sakit bagi bayi/kanak-kanak dan boleh menyebabkan komplikasi lain – pengumpulan cecair di dalam telinga dalam jangka masa yang lama akibat jangkitan itu boleh menyebabkan masalah pendengaran dan perkembangan pertuturan pada kanak-kanak tersebut.



6. Kanser.
Kajian mendapati kanak-kanak kecil yang minum susu formula mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser pada usia mudanya.



7. Jangkitan saluran pencernaan.
Tidak dapat dinafikan masalah sistem pencernaan berkait rapat dengan apa yang dimakan. Pemberian susu formula meningkatkan risiko terhadap cirit birit dan lebih buruk lagi mengalami fasa penyembuhan yang perlahan. Ini adalah kerana apabila bayi mengalami cirit birit dan muntah-muntah, doktor selalu menasihatkan supaya mengurangkan pemberian susu formula dan banyakkan minum air (untuk mengelakkan kekontangan). Kurang menyusu bermakna kurang nutrien diperoleh bayi. Sebaliknya bayi yang minum susu ibu masih boleh terus menyusu. Oleh itu bayi akan mendapat nutrien yang cukup dan juga antibodi yang akan membantunya membunuh kuman yang menyebabkan jangkitan pada saluran pencernaannya.

Bayi yang minum susu ibu juga jarang-jarang mengalami sembelit sebaliknya bayi yang minum susu formula sering mengalami masalah pembuangan air besar.



8. Keberkesanan vaksin.
Pemberian susu formula mengurangkan keberkesanan pemvaksinan dengan mengurangkan respon bayi terhadap penghasilan antibodi di dalam badan.

Sebaliknya bayi yang minum susu ibu memberi respon yang baik kepada pemvaksinan dan menghasilkan lebih banyak antibodi di dalam badannya.

(Catatan peribadi: pemvaksinan ialah kaedah imunisasi dengan cara menyuntik vaksin ke dalam badan. Suntikan vaksin akan merangsang sel darah putih menghasilkan antibodi untuk melindungi badan daripada jangkitan penyakit.)



9. Perkembangan rahang dan otot muka.
Adakah anda menyedari bahawa teknik hisapan bayi yang minum melalui botol (susu formula) berbeza dengan bayi yang minum susu ibu daripada payudara ibunya? Sesetengah orang mengakui bahawa bayi yang minum susu ibu dapat dikenal melalui pipinya yang cantik membulat!

Perkembangan rahang, otot muka dan pipi ini akan ketara kepentingannya apabila bayi ini membesar menjadi kanak-kanak nanti kerana bayi yang minum susu ibu apabila besar kelak kurang memerlukan rawatan pergigian berbanding kanak-kanak yang minum susu formula.

Penyusuan ibu menjadikan pembentukan rahang dan otot muka terbentuk dengan baik dan seterusnya menghasilkan rahang yang cantik dan gigi yang tersusun rapi.



10. Obesiti
Bayi yang minum susu formula juga terdedah kepada masalah obesiti (kegemukan) pada usia muda (kanak-kanak dan remaja).

Kesimpulan: banyak lagi masalah kesihatan lain yang boleh berlaku apabila bayi tidak diberi susu ibu dan diganti dengan permberian susu formula. Ini termasuk eczema, masalah jantung, alergi, kolik, meningitis dan sebagainya.

Mungkin ibu-ibu diluar sana  tertanya-tanya kebaikan susu ibu kepada bayi anda, terutamanya pada mereka yang baru bergelar ibu tapi mungkin ramai juga diantara kita yang telah mengetahui kelebihan susu ibu. Melalui hasil pembacaan hari ini , terdetik di hati ini nak berkongsi sedikit maklumat mengenai kelebihan susu ibu ini berbanding susu formula. Harap-harap dapatlah bermanfaat untuk semua ye…



Nak tahu tak yang susu  ibu itu mengandungi zat dan vitamin yang mencukupi dan berubah mengikut umur dan keperluan bayi dan ia mudah dihadam dan digunakan oleh bayi dengan berkesan serta melindungi bayi dari penyakit, mengandungi antibodi, dan tiada pencemaran.


susu awal ibu atau dikenali sebagai kolostrum yang berwarna kekuningan pula adalah makanan pertama yang sempurna bagi bayi dan mengandungi pelbagai kebaikan.

Apa pula pentingnya kolostrum ini pada bayi?

Sebenarnya kolostrum ini boleh membantu bayi anda untuk mengeluarkan mekonium (najis bayi di awal kelahiran), mencegah penyakit kuning (jaundis), melindungi bayi dari jangkitan dan alahan (susu ibu kaya dengan antibodi dan sel darah putih), mencegah jangkitan dan penyakit mata (kaya dengan vitamin A dan E), mengandungi faktor pertumbuhan bagi kematangan usus sekaligus mencegah alahan dan bertindak sebagai imunisasi pertama untuk menentang bakteria dan virus.

Selain itu susu ibu juga melindungi bayi daripada kolik, lelah, penyakit kulit, hidung dan alahan kepada makanan, mengurangkan penyakit seperti batuk, jangkitan telinga, bronkitis, pneumonia, meningitis, dan cirit-birit.
Ia juga mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis, kanser dan obesiti kanak-kanak di kemudian hari dan sekaligus susu ibu turut mengurangkan risiko sindrom kematian bayi, mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan pertumbuhan rahang.

Kelebihan Susu Ibu
Banyak lagi faedah yang boleh diperolehi oleh bayi, ibu, keluarga mahupun masyarakat.
Antaranya ialah

1)      Susu ibu meningkatkan perkembangan otak dan saraf bayi anda dan kajian menunjukkan IQ bayi yang menyusu susu ibu adalah lebih tinggi daripada yang tidak menyusu ibu.

2)      Menyusukan anak dapat membantu ibu untuk mengurangkan berat badan kerana penyusuan ini dapat membakar kalori

3)      Bayi yang menyusu ibu akan jarang dijangkiti penyakit kerana susu ibu mengandungi bahan anti kuman yang dapat melindungi bayi dan belum ada lagi bayi yang alah dengan susu ibu.

4)      Menyusukan bayi juga turut memberikan faedah kepada ibu kerana dapat merendahkan risiko terhadap barah payudara dan ovari, mengelakkan pendarahan selepas bersalin, menjarakkan kelahiran kerana penyusuan merupakan cara perancang keluarga semulajadi, mempercepatkan proses pengurangan berat badan dan mengempiskan perut.

5)      Penyusuan susu ibu juga akan menjimatkan wang kerana tidak perlu menyediakan barang keperluan untuk penyusuan, tidak perlu membeli susu formula dan mengurangkan perbelanjaan untuk rawatan perubatan kerana bayi yang menyusu ibu jarang sakit.

6)      Selain itu, penyusuan susu ibu juga membantu mengeratkan kasih sayang antara anak dan ibu, lebih masa terluang bersama keluarga, dan menyumbang kepada objektif negara dalam perancangan keluarga.






Kekurangan Susu Formula

Mari kita lihat pula antara kekurangan susu formula dibandingkan dengan susu ibu ialah
  • khasiatnya yang tidak sama dengan khasiat susu ibu walaupun pelbagai zat tambahan dimasukkan seperti Omega3, Docosahexanoic (DHA), Arachidonic acid (AA), dan vitamin B12.
  • Zat-zat tambahan dalam susu formula juga membawa kesan sampingan lain seperti protein, walaupun ia telah diubah tetapi masih sukar dihadam manakala zat besi pula sukar untuk diserap oleh bayi.
  • Bayi yang diberikan susu formula juga terdedah kepada pencemaran bakteria apabila air bancuhan, peralatan botol dan puting tidak dibersihkan dengan sempurna.
  • Bayi juga tidak mendapat perlindungan daripada pelbagai penyakit kerana susu formula tidak mengandungi antibodi menyebabkan bayi yang diberi susu formula lebih kerap mendapat jangkitan penyakit seperti cirit-birit, demam, selesema, batuk dan alahan walaupun susunya dibuat secara bersih.
  • Terdapat juga risiko kekurangan zat makanan jika susu dibancuh terlalu cair ataupun jika dibancuh terlalu pekat, ia boleh mengakibatkan sembelit atau kerosakan pada organ tertentu.
  • Berbeza dengan susu ibu, susu formula juga tidak mengandungi enzim. Ini melambatkan penghadaman dan menyukarkan tenaga dibekalkan kepada bayi.
  • Beberapa proses tertentu perlu dilalui untuk menukar kondisi susu dari bentuk cecair ke bentuk serbuk. Jadi disini boleh lah dikatakan ianya tidak lagi semula jadi berbanding dengan susu ibu
Tapi susu formula ada juga kebaikan kepada Ibu iaitu
1)      Sesiapa sahaja boleh memberikan susu kepada bayi dan tidak semestinya ibu sahaja
2)      Frekuensi penyusuan kurang kerana penghadaman susu yang perlahan, bayi akan tidur lebih lama.
3)      Ibu tidak perlu risau untuk kawal pemakanan sendiri kerana tidak perlu risau tentang penghasilan susu badan




Susu Ibu VS Susu Formula

Susu ibu atau susu formula.Mana satu pilihan anda?

Dalam surah Lukman ayat 14, Allah menjelaskan ;

“dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan(ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”  (31:14)

Juga dalam surah Al-Baqarah ayat 233 Allah menegaskan ;

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap Iaitu bagi orang Yang hendak menyempurnakan penyusuan itu” (2:233)

Islam menggalakkan supaya bayi yang baru lahir diberikan susu ibu sejak daripada hari pertama mereka dilahirkan…banyak kajian telah membuktikan susu ibu mempunyai kelebihan berbanding susu formula yang mudah kita dapati di pasaran kini namun apapun terserah lah kepada para ibu di luar sana untuk memilih samada memberikan susu ibu atau susu formula kepada bayi anda..saya hanya kongsikan yang menilainya anda…

Insyallah saya akan kongsikan artikel yang lain selepas ini….harap berjumpa lagi…




Sumber
Perkongsian adalah diambil dari sumber yang dinyatakan untuk panduan semua.
PENAFIAN: Artikel yang disiarkan didalam blog ini adalah sekadar rujukan / panduan sahaja. Pembaca dinasihatkan agar merujuk dengan pihak yang bertauliah dan terlatih dalam bidang berkenaan sebelum mempraktikannya. Sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini adalah atas risiko dan tanggungan pembaca sendiri.








0 comments:

Catat Ulasan